Cerita Amali Kami: Terapi Seni Visual


Laporan Aktiviti Terapi Seni Visual. Kursus Terapi Dalam Pendidikan Khas K16

            Pada hari Khamis, 16 Januari 2014 kumpulan kedua yang dianggotai oleh Carolina Jiksing, Florensiah Bruno, Mathilda Chung, dan Nurul Husna Binti Ibrahim telah mengadakan satu jenis terapi iaitu Terapi Seni Visual. Aktiviti bagi terapi tersebut telah berjaya dilaksanakan di dalam Gimnasium IPG Kampus Ipoh dan dijalankan selama hampir 2 jam, iaitu 2.30 petang sehingga 4.30 petang. Aktiviti Terapi Seni Visual tersebut telah melibatkan seramai 15 orang ahli kelas K16 dan dibahagikan kepada tiga kumpulan. Malah, sepanjang kami melaksanakan aktiviti bagi Terapi Seni Visual tersebut, kami telah dibimbing oleh pensyarah bagi subjek Terapi dalam Pendidikan Khas (PKB 3109) iaitu Puan Satariah Binti Kamis.  
            Objektif aktiviti tersebut dijalankan adalah untuk mengenalpasti dan membuat penilitian hasil seni visual yang sesuai untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Kedua,  dapat menghasilkan bahan seni visual yang sesuai melalui aktiviti tersebut. Ketiga, merancang dan mengaplikasikan pengajaran yang melibatkan terapi seni visual. Keempat, mengenalpasti peluang dan risiko dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti terapi bagi murid-murid berkeperluan khas. Seterusnya, dapat menyusun strategi untuk mengaplikasikan terapi-terapi dengan cara yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Selepas menerima tajuk daripada pensyarah pembimbing, kami telah duduk berbincang dan berkolaborasi di dalam kumpulan kami. Hasil daripada berbincangan tersebut, lantas kami berempat telah bersepakat untuk melaksanakan aktiviti kolaj dalam bidang menggambar. Malah, kami juga telah membahagikan tugas kepada setiap ahli kumpulan secara adil dan saksama. Dari segi penyediaan alat dan bahan untuk aktiviti kolaj sehingga kepada proses mendokumentasikan aktiviti yang telah dilaksanakan ini. Selain itu, bagi memudahkan aktiviti tesebut dijalankan secara berperingkat, kami telah menyediakan satu Rancangan Pengajaran Harian (RPH). RPH tersebut menjadi satu panduan kepada kami berempat dalam menjalankan aktiviti Terapi Seni Visual dengan lebih sistematik tanpa meninggalkan langkah-langkah yang penting.
             Sebelum melaksanakan aktiviti Terapi Seni Visual tersebut, kami telah menerangkan secara umum ‘Apa itu terapi Seni Visual?’ kepada ahli kelas K16. Hal ini adalah untuk mengelak daripada berlakunya situasi yang mana setiap ahli kelas kami tertanya-tanya apa yang ingin kami sampaikan dalam aktiviti yang bakal dijalankan. Lantas, Mathilda telah memainkan peranan sebagai individu yang bertanggungjawab untuk menerangkan serba sedikit mengenai Terapi Seni Visual dihadapan kelas dengan slide presentation yang telah disediakannya.  
Sudah terang lagikan bersuluh, melalui aktiviti kolaj tersebut murid-murid berkeperluan khas dapat memperbaiki dan mengerakkan motor halus mereka dengan baik. Sebagai contoh, dalam set induksi, kami telah menjalankan aktiviti merenyuk, melipat dan mengoyak kertas surat khabar lama. Aktiviti ini dijalankan secara individu dan setiap individu diberikan tiga helai kertas surat khabar lama. Lantas, aktiviti ini telah diketuai oleh Husna sebagai individu yang mengawal dan membimbing aktiviti tersebut. Pendek kata, hasil daripada set induksi tersebut, kami dapati pergerakkan motor halus adalah sangat mempengaruhi dalam melaksanakan aktiviti merenyuk, melipat dan mengoyak surat khabar lama. Malah, untuk menjelaskan lagi pemahaman murid mengenai aktiviti kolaj, kami telah menyediakan dua jenis lukisan yang telah dikolajkan. Oleh itu, murid-murid diberi peluang untuk melihat dan meniliti hasil karya yang telah guru siapkan. Hasil karya tersebut adalah sangat penting untuk dijadikan sebagai panduan kepada murid-murid sepanjang mereka melaksanakan aktiviti kolaj.
Langkah seterusnya, murid-murid mula dibahagikan kepada tiga kumpulan yang mana setiap kumpulan adalah seramai lima orang. Malah, untuk aktiviti-aktiviti terapi seni visual yang seterusnya dilakukan secara berkumpulan. Hal ini disebabkan, murid-murid akan lebih bersosialisasi dan dapat membina sikap berkerjasama dalam kumpulan mereka. Dari aspek pembahagian kumpulan, kami telah memberikan sehelai kertas berwarna bersaiz kecil kepada setiap murid. Terdapat tiga jenis warna iaitu merah jambu, kuning dan hijau. Seterusnya, murid-murid diminta untuk berada dalam kumpulan masing-masing dengan merujuk kepada jenis warna pada kertas warna yang mereka peroleh.
            Seterusnya, Carolina sebagai ketua dalam aktiviti kolaj telah membekalkan setiap murid sehelai kertas bersaiz A4. Lantas, murid-murid diminta melukis sebuah rumah pada kertas bersaiz A4 tersebut dan masih berada di dalam kumpulan masing. Dalam aktiviti ini, murid-murid boleh berbincang bersama ahli kumpulan masing-masing supaya setiap daripada mereka dapat melukis sebuah rumah yang cantik. Dalam aktiviti melukis ini, kami dapati setiap murid memerlukan koordinasi mata dan tangan yang baik untuk membina garisan-garisan dalam membentuk sebuah rumah pada kertas. Malah, gerakan-gerakan jari yang baik juga sangat diperlukan untuk memegang pensel dengan betul supaya lukisan yang terhasil tidak comot.
Langkah seterusnya, guru memilih satu lukisan rumah yang paling cantik dan sesuai untuk murid kolajkan dalam setiap kumpulan. Hal ini bermaksud, hanya satu sahaja lukisan yang perlu dikolajkan dalam setiap kumpulan. Serta, lima orang dalam setiap kumpulan tersebut perlu bersama-sama menyiapkan satu karya yang perlu dikolajkan. Lantas, kami telah membekalkan murid-murid dengan kertas-kertas warna yang pelbagai warna dan helaian-helaian majalah yang terpakai. Murid-murid diminta mengoyakkan kertas-kertas yang dibekalkan tersebut kepada cebisan-cebisan kecil. Dalam peringkat ini, bimbingan daripada guru adalah sangat penting supaya murid-murid tahu saiz cebisan-cebisan yang perlu mereka hasilkan semasa mengoyak helaian kertas berwarna dan majalah terpakai tersebut.
Seterusnya, murid-murid boleh menampal cebisan-cebisan kertas warna tersebut pada lukisan rumah dengan warna-warna yang menarik dan kreatif. Kami juga telah memberikan tempoh masa yang sesuai untuk murid-murid menyiapkan aktiviti kolaj tersebut. Hasil karya kolaj yang menarik telah diberikan ganjaran iaitu sticker dan makanan. Murid-murid kelihatan gembira dengan aktiviti kolaj yang telah dilaksanakan. Malah, pada peringkat apresiasi seni, murid dapat membuat apresiasi terhadap karya dan murid juga telah mempamerkan hasil karya yang telah dihasilkan.
Pada akhir aktiviti terapi Seni Visual ini, kami telah menyediakan sehelai hamparan kain putih. Murid-murid bebas melakar dan melukis apa sahaja di atas kain putih tersebut. Hal ini adalah sebagai salah satu cara yang mana murid-murid dapat menzahirkan dan meluahkan perasaan mereka melalui lukisan. Pakar psikologi juga telah mengkaji bahawa melalui lukisan yang dihasilkan, kita dapat melihat secara tersirat dan tersurat mengenai seseorang individu tersebut. Hal ini bermakna, lukisan yang dihasilkan membawa sesuatu mesej yang ingin pengkarya sampaikan. Lantas, hal ini adalah amat penting terutamanya dalam menghayati dan mendalami diri murid-murid berkeperluan khas.
Sebelum menamatkan aktiviti terapi seni visual ini, kami telah bergambar bersama-sama sebagai tanda kenangan dan bukti bahawa kami telah melaksanakan aktiviti terapi seni visual ini dengan jayanya. Semua ahli kelas K16 kelihatan gembira dan berpuas hati dengan penyampaian kami dalam aktiviti terapi seni visual ini. Aktiviti terapi seni visual yang telah dijalankan ini, telah berjaya menimbulkan kesedaran di hati setiap individu bahawa terapi seni visual merupakan salah satu jenis terapi yang sangat penting dijalakan terutamanya kepada murid-murid berkeperluan khas. Tuntasnya, aktiviti terapi seni visual yang telaj dijalankan ini dianggap berkesan kerana kami dapat menimba ilmu dan meluaskan pengetahuan.

Dilaporkan oleh,                                                                                        18 JANUARI 2014
____Husna_____
(NURUL HUSNA BINTI IBRAHIM)
Wakil Ahli Kumpulan Aktiviti Terapi Seni Visual K16.

Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh.

0 comments:

Post a Comment